Sabtu, 7 Ogos 2010

ARTIKEL PENTING !!!!!

Cara Menentukan Masa Kesuburan Wanita



إِنَّا خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ مِنْ نُطْفَةٍ أَمْشَاجٍ نَبْتَلِيهِ فَجَعَلْنَاهُ سَمِيعًا بَصِيرًا

” Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang bercampur yang Kami (hendak mengujinya dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat” (al-Insan : 2)

Isu kesuburan adalah ketetapan Allah
Tentunya pasangan yang berkahwin mempunyai matlamat untuk menimang cahaya mata secepat mungkin dan malahan ada yang mahu mendapatkannya seramai yang boleh.
Tekanan dari keluarga di kedua pihak lelaki dan wanita menyebabkan pasangan suami isteri harus membuktikan bahawa mereka mampu mendapatkan cahaya mata untuk meneruskan kelangsungan salasiah keturunan.

Namun ramai yang tidak menyangka bahawa mendapat cahaya mata adalah merupakan sebahagian ketentuan takdir Allah kepada semua manusia. Sebagai mana rezeki, jodoh dan kematian, mendapat cahaya mata juga telah ditetapkan oleh Allah.

Ada yang diberikan Allah cahaya mata yang ramai, ada yang sedikit dan ada pasangan yang tidak mempunyai cahaya mata langsung. Ini semua ujian Allah, tidak kiralah sama ada pasangan itu mempunyai ramai cahaya mata atau tidak ada langsung. Ujian untuk manusia bersyukur dan ujian untuk manusia bersabar. Sesungguhnya Allah memberikan ujian setakat mana yang dapat ditanggung oleh makhlukNya.

Jadi mungkin dengan mendapat anak yang ramai itu menjadi sesebuah keluarga itu menjadi baik. Namun ada juga yang tidak ditahan uji, keluarga berpecah dan bercerai walaupun anaknya ramai.

Ada juga anak yang sepatutnya menjadi saham berguna di akhirat itu bertukar menjadi saham neraka bagi ibu dan bapanya.

Walau apa juga ketentuan Allah, terimalah dengan hati yang rendah dan taat. Namun bagi mereka yang mahukan zuriat keturunan, berdoalah sebagaimana Nabi Zakaria berdoa.


وَزَكَرِيَّا إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنْتَ خَيْرُ

Dan (ingatlah kisah) Zakariya, tatkala ia menyeru Tuhannya: “Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan aku hidup seorang diri dan Engkaulah Waris Yang Paling Baik. (surah al-anbiya, ayat 89)
هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ ۖ قَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ

Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan. (surah ali-imran, ayat 38)

Maka setiap pasangan yang agak sukar untuk mendapatkan cahaya mata haruslah berusaha mengenal pasti fertile window bagi si isteri, sebagai suatu langkah tawakal terhadap takdir Allah.

Kesuburan dan peluang kehamilan

Seorang suami bertanya kepada saya, tanpa mengira dan mengenal pasti waktu kesuburan, berapa peratus kehamilan seorang wanita? Adakah pasangan lelaki-wanita yang berjima’ sekali saja, boleh hamil?

Menurut kajian yang dilakukan oleh Barrett dan Marshall mendapati hubungan jima’ secara rawak hanya mencapai 24% peluang kehamilan bagi setiap kitaran haids bagi seorang wanita.

Ini bermakna ianya terlalu kecil. Maka peluang untuk kehamilan hanya akan dapat ditinggikan dengan mengenal pasti waktu kesuburan isterinya.

Jadi apakah itu waktu kesuburan (Fertile window)?

Ia adalah waktu yang paling subur di mana waktu beberapa hari dalam setiap kitaran haids untuk mendapatkan kehamilan selepas melakukan jima’. Bagi kitaran haids yang tetap, secara teori, ianya meliputi enam hari iaitu, lima hari sebelum ovulasi dan sehari selepas ovulasi.

Bagi mereka yang keliru dengan perkataan Ovulasi, ia berlaku semasa telur ovum yang matang dilepaskan dari ovari, dan akan bergerak ke tiub fallopian untuk disenyawakan. Bagi kitaran haids yang berlangsung selama 28 hari, ia berlaku antara hari ke 14 atau ke 15 dari hari pertama seseorang wanita itu mengalami pendarahan haids.

Kitaran haids yang tetap kadang kala disangka sebagai kitaran haids yang mengelurkan telur ovum yang matang (kitaran yang subur), mana kala kitaran haids yang tidak tetap kadang kala dianggap sebagai kitaran haids yang tidak mengeluarkan ovum (kitaran tidak subur).

Namun ianya mungin berlaku sebaliknya. Ramai wanita yang tidak mempunyai kitaran haids yang tidak teratur dan tetap menghasilkan ovum, manakala yang mempunyai kitaran haids yang teratur pula tidak menghasilkan ovum. Ini semua adalah ketentuan Allah. Maka bersyukurlah wanita yang tidak ada masalah untuk hamil. Bagi wanita yang bermasalah, berdoalah semoga Allah mengubahkan takdirnya.

Bagaimana mengenalpasti Fertile Window?

Bagi wanita yang mempunyai kitaran haids yang tetap (28 hari kitaran haidsnya), fertile window bagi si isteri ialah antara hari ke 10 dan hari ke 15.

Namun bagi wanita yang mempunyai kitaran haids yang tidak teratur, bagaimana pula?

Dengan menggunakan kaedah Menandakan Kalendar, seseorang wanita menggunakan kitaran haids yang lepas sebagai panduan dan mengagak masa kesuburannya.

Bermula dengan menyimpan rekod bertulis kitaran haids selama 8-12 bulan berturut-turut. Tandakan hari pertama pendarahan haids sebagai hari pertama bagi kitaran haids itu.

Pilih kitaran haids yang paling panjang dan yang paling pendek. Tolakkan 18 daripada kitaran haids yang terpendek, dan ianya adalah hari pertama bagi hari pertama kesuburan. Tolakkan 11 daripada kitaran haids yang terpanjang dan tandakannya sebagai hari terakhir kesuburan.

Contoh:

Mac 29 hari

April 26 hari (kitar haids terpendek)

May 30 hari

Jun 31 hari (kitar haids terpanjang)

Julai 30 hari

Dalam contoh ini, kitar haids yang terpendek ialah kitaran haids yang mempunyai 26 hari manakala kitar haids yang terpanjang ialah yang mempunyai 31 hari. Tolakkan 18 dari 26 iaitu hari ke 8 sebagai hari subur yang pertama dan tolakkan 11 dari 31 iaitu hari ke 20 sebagai hari subur yang terakhir. Maka waktu subur antara hari ke 8 hingga hari ke 20.

Mengagak dengan lebih tepat

Kehamilan hanya akan berlaku jika ada kehadiran ovum selalunya berlaku pada pertengahan kitaran haids (bagi kitaran haids yang tetap).

Setelah ovulasi, ovum akan hidup diluar ovari selama 24 jam manakala sperma yang telah dikeluarkan oleh si suami pula boleh hidup selama lima hari di dalam badan wanita.

Maka dalam keadaan yang sempurna, waktu kesuburan (fertile window) hanya berlangsung selama enam hari, iaitu lima hari sebelum ovum dikeluarkan dan 24 jam selepas ovum dikeluarkan (ovulasi)

Namun semuanya bergantung kepada kehadiran cervical mucus yang baik, metabolisma sperma, daya tahan sperma itu, tahap pH pada vagina dan banyak faktor yang tidak dapat dikawal oleh manusia.

Maka saat yang benar-benar subur adalah sehari sebelum ovulasi dan sehari selepasnya. Peratusan kehamilan lebih tinggi lebih kurang 60%.

Jika kaedah Menandakan Kalendar ini menjadi sukar bagi sesetengah pasangan, terutama bagi si isteri yang tidak mempunyai kitaran haids yang teratur, ada beberapa cara lain untuk menentukan fertile window.

Antaranya menggunakan alat untuk ujian air kencing juga boleh mengesan kenaikan hormon LH secara tiba-tiba (LH surge) yang berlaku 24 hingga 36 jam sebelum ovulasi. Apabila ianya positif, hubungan jima’ haruslah dilakukan pada malamnya kerana ia adalah waktu kesuburan.

Dan ada beberapa teknik lain seperti Cervical Mucous Monitoring dan Basal Body Temperature.

Namun yang lebih penting, bukan sahaja cahayamata yang dinantikan tetapi juga menginsafi diri bahawa kejadian kita adalah sesuatu yang sangat berharga. Ianya hanya pinjaman dan akan diambil semula. Gunakan masa yang ada sebaiknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan